
Badan yang dicadangkan oleh MHS itu khusus untuk mendaftarkan, menyelia status tanah dan menyelesaikan pertikaian berkaitan kuil Hindu.
“Badan ini juga harus bertanggungjawab dalam memulakan perbincangan dengan pihak berkuasa bagi mengesahkan status tanah kuil yang telah lama wujud,” kata Presiden T Ganesan dalam kenyataan.
Tambahnya, badan tertinggi bagi penganut Hindu itu bersedia menerajui inisiatif ini bersama kerajaan agar masa depan kuil Hindu lebih terjamin dan tidak terus berdepan dengan isu pemindahan atau perobohan.
Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman terletak di atas sebidang tanah di seberang Jakel Mall berhampiran Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Pada Khamis lepas, Ketua Bahagian Undang-undang dan Komunikasi Korporat Jakel Trading Sdn Bhd Aiman Dazuki berkata, Jakel Trading memperoleh tanah itu sekitar 2012 dan pada 2021 terima kebenaran untuk memulakan pembinaan masjid tetapi ditangguh sehingga proses pemindahan selesai.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, pihaknya sudah mengenal pasti lokasi baharu untuk kuil tersebut dan tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan sehingga pemindahan selesai.
MHS mengemukakan cadangan ini sebagai respons terhadap naratif yang mendakwa banyak kuil Hindu didirikan secara haram.
“Tidak wajar menyalahkan pihak kuil sepenuhnya dalam isu ini tanpa memahami latar belakang sejarahnya,” kata Ganesan.
Menurutnya, kebanyakan kuil didirikan sebelum kemerdekaan dengan kelulusan pihak berkuasa pada masa itu, dan selepas kemerdekaan, kuil-kuil Hindu dibiarkan tanpa sistem pentadbiran yang jelas.
“Apabila tanah dijual dan pembangunan berlaku, status kuil-kuil ini menjadi tidak menentu,” kata Ganesan.
“Kuil yang berada di sesuatu lokasi selama puluhan atau ratusan tahun tiba-tiba dikategorikan sebagai ‘tidak sah’ akibat perubahan pemilikan tanah dan dasar pembangunan.”