
Presidennya Wan Muhd Aminuddin Wan Hussin berkata rakyat berusia 18 tahun ke atas mempunyai hak memilih tempat mengundi yang mereka inginkan termasuk di kampung halaman kerana lebih selesa berbuat demikian.
Menurutnya, ada diantara anak perantauan dari Kelantan tinggal di Lembah Klang mahu mengundi sambil melawat keluarga selain ingin suara mereka dikira untuk memajukan kawasan kelahiran.
“Mengundi itu hak masing-masing dan pengundi ada pilihan…terpulang kepada mereka kalau mahu tukar tempat mengundi dan tak perlu ada paksaan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas gesaan berterusan PAS supaya semua penduduk menetap dan bekerja di Selangor untuk menukar tempat mengundi mereka ke negeri itu.
Rabu lalu, lidah rasmi PAS, Harakah Daily melaporkan Ketua Penerangan PAS Selangor Zurk Ahmad berkata langkah itu penting bagi memastikan setiap undi mencerminkan realiti sebenar rakyat bermastautin di Selangor, selaras hak dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sebelum itu, Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri juga menyatakan harapan penyokong PAS bermastautin di Selangor mendaftar sebagai pengundi di negeri itu menjelang PRU.
Menurutnya, beliau yakin jika lebih ramai penyokong PAS mendaftar sebagai pengundi di Selangor, tidak mustahil Perikatan Nasional (PN) mampu menawan negeri itu.
Bagi Aminuddin, cadangan berkenaan disifatkan keperluan politik tetapi akhirnya kata pemutusnya terletak di tangan pengundi.
“Ini sama seperti kempen untuk meminta anak-anak Kelantan supaya balik mengundi tetapi tidak harus jadi paksaan.
“Hak mereka kalau hendak mengundi atau sebaliknya,” katanya.