
Peter berhujah bahawa Mahkamah Rayuan, dalam keputusan pada 4 Mac lalu yang mengekalkan sabitan dan hukumannya, tidak mempertimbangkan bukti berkait laporan polis dibuat pada 2018 sebelum membuat keputusan.
Dalam permohonan difailkan pada Jumaat lalu (14 Mac), dengan Peter memohon agar semakan dilakukan oleh panel lain di Mahkamah Rayuan.
Pada 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap Peter. Beliau membayar denda itu dan kini sedang menjalani hukuman penjara.
Beliau disabitkan kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), 11 tahun lalu.
Sebagai pengarah urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, Peter didakwa memalsukan sepucuk surat daripada pejabat timbalan naib canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan kenyataan palsu untuk tujuan penipuan.
Peter merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap.
Kerusi yang disandangnya akan dikosongkan secara automatik sekiranya beliau gagal dalam semua saluran perundangan untuk membatalkan sabitan atau memperoleh pengampunan diraja.