Nancy gesa hukuman lebih berat bapa tiri rakam anak mandi

Nancy gesa hukuman lebih berat bapa tiri rakam anak mandi

Menyifatkan denda RM6,000 terlalu rendah menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat harap pihak bertanggungjawab merayu terhadap hukuman itu.

Nancy Shukri
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata kita tidak boleh bertolak ansur terhadap sebarang bentuk eksploitasi dan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
PETALING JAYA:
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri menggesa hukuman lebih berat dikenakan kepada seorang lelaki yang merakam dan memiliki bahan lucah iaitu video dan gambar bogel anak tirinya.

Menyifatkan denda RM6,000 dikenakan terlalu rendah, Nancy berharap pihak bertanggungjawab dapat merayu terhadap hukuman itu.

“Pada pandangan saya, hukuman lebih berat wajar dikenakan ke atas perbuatan jijiknya sebagai seorang bapa tiri yang seharusnya menjadi pelindung kepada ahli keluarganya dan bukannya berkelakuan sedemikian.

“Lebih-lebih lagi, kesalahan bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan.

Pada 19 Mac lalu, Mahkamah Sesyen Muar menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap seorang lelaki kerana merakam dan memiliki bahan lucah iaitu video dan gambar bogel anak tiri berusia 15 tahun.

Tertuduh berusia 56 tahun didakwa memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak iaitu 18 rakaman video dan beberapa gambar bogel anak tirinya sedang mandi.

Perbuatan itu dilakukan di bilik pegawai penyiasat jenayah, IPD Muar antara 17 Sept hingga 21 Dis tahun lalu.

Sementara itu, Nancy yakin tidak hanya dirinya yang menganggap hukuman tersebut terlalu rendah.

“Kita tidak boleh bertolak ansur terhadap sebarang bentuk eksploitasi dan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

“Hukuman lebih tegas bukan sahaja memberikan keadilan kepada mangsa, tetapi menjadi pengajaran dan peringatan kepada masyarakat bahawa perbuatan seumpama ini tidak akan diterima dalam dalam apa jua keadaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.