Tambah bantuan sosial untuk tampung inflasi perang dagang, kata ahli ekonomi

Tambah bantuan sosial untuk tampung inflasi perang dagang, kata ahli ekonomi

Ahli ekonomi berpendapat perang dagang berisiko ganggu rantaian bekalan serta menyebabkan harga barang menjadi mahal.

shopping public
Kerajaan meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah kepada RM13 bilion pada tahun ini.
PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi berkata kerajaan perlu mengimbangi perbelanjaan bagi meningkatkan bantuan sosial untuk berdepan kesan perang dagang yang mungkin mendedahkan risiko peningkatan inflasi.

Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata perang dagang terutama membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan China dijangka menyaksikan kenaikan tarif import yang boleh mengganggu rantaian bekalan serta menyebabkan harga barang menjadi mahal.

Menurutnya, jika keadaan itu berlaku kadar inflasi yang diukur pengiraan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi perubahan harga item dalam bakul tetap barangan dan perkhidmatan berisiko meningkat.

“Kerajaan mungkin terpaksa meningkatkan lagi bantuan kepada rakyat Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) untuk menyerap kesan,” kata ahli akademik dari Universiti Kuala Lumpur kepada FMT.

Belanjawan 2025 menyaksikan kerajaan meningkatkan peruntukan bagi STR dan Sara kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion yang bakal memanfaatkan sembilan juta penerima atau 60% penduduk dewasa negara.

Aimi menjelaskan untuk menampung perbelanjaan tambahan bantuan itu, kerajaan perlu melaksanakan pelbagai pendekatan seperti subsidi bersasar termasuk petrol RON95, namun agihannya perlu dibuat tepat untuk mengelakkan pembaziran sumber kerajaan.

“Kena ketahui pendapatan bersih isu rumah, lokasi dan pelbagai data…maka bantuan dapat diberikan dengan berkesan,” katanya.

Tingkat bantuan kepada rakyat

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School pula berkata dana meningkatkan bantuan kepada rakyat dan menampung belanja pembangunan selain kesihatan dan pendidikan boleh ditampung menerusi penjimatan daripada subsidi bersasar termasuk bagi RON95.

“Dijangka RM8 bilion setahun dapat dijimatkan menerusi penyasaran subsidi petrol RON95.

“Hasilnya bukan sahaja dapat bantu B85 (85% layak mendapat subsidi) terutamanya yang duduk di bandar dan mempunyai tanggungan ramai,” katanya.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Chakrin Utit, pula setuju dengan pendekatan subsidi bersasar RON95 dibuat berperingkat dan pada masa sama menyediakan mekanisme perlindungan tambahan bagi golongan terkesan..

“Bagi memastikan peningkatan bantuan seperti STR dan Sara tanpa menjejaskan kedudukan fiskal negara, kerajaan memerlukan sumber kewangan lebih kukuh.

“Salah satu strategi boleh dipertimbangkan ialah penyasaran subsidi RON95, tetapi perlu dibuat berhati-hati bagi mengelakkan kesan rantaian terhadap kos pengangkutan dan harga barangan lain,” katanya.

Namun, Chakrin turut mengingatkan kerajaan supaya mengambil langkah jangka panjang dalam menjaga kebajikan rakyat seperti memperkukuh asas pengeluaran makanan dengan mengurangkan kebergantungan kepada import.

“Perkasa sektor pertanian tempatan melalui penggunaan teknologi pertanian moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan model pertanian regeneratif, ini dapat tingkat produktiviti serta stabil harga makanan.

“Selain itu, perluas model gaji progresif bagi memastikan kenaikan gaji sejajar peningkatan kemahiran dan produktiviti pekerja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.