SPRM sambung sesi ke-6 soal siasat Ismail Sabri esok

SPRM sambung sesi ke-6 soal siasat Ismail Sabri esok

Bekas PM itu disoal siasat sebagai suspek dalam siasatan rasuah dan pengubahan wang haram babit empat pegawai kanannya.

Sumber SPRM berkata, Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob akan dipanggil semula untuk disoal siasat pagi esok. (Gambar EFA Images)
PUTRAJAYA:
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dijangka kembali ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok, untuk sesi keenam soal siasat.

Ismail Sabri yang tiba pada 9.57 pagi tadi meninggalkan ibu pejabat SPRM pada 4.35 petang selepas sesi soal siasat berlangsung sekurang-kurangnya enam jam.

Sumber SPRM berkata, Ahli Parlimen Bera itu akan dipanggil semula pagi esok.

Beliau pertama kali dipanggil untuk soal siasat pada 19 Feb, sembilan hari selepas mengisytiharkan hartanya kepada SPRM.

Bekas naib presiden Umno itu disoal siasat oleh SPRM sebagai suspek berhubung siasatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan empat pegawai kanannya.

Terdahulu, Ismail Sabri yang dimasukkan ke hospital kerana masalah tekanan darah tidak dapat menghadiri dua sesi bersama SPRM pada 5 dan 7 Mac, selepas mengemukakan sijil sakit.

SPRM sebelum ni berkata, kira-kira RM170 juta wang tunai dan 16kg jongkong emas bernilai jutaan ringgit dirampas dalam serbuan di kediaman empat pegawai terbabit, dan tiga premis lain yang dipercayai digunakan sebagai ‘safe house’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.