
Mohd Khairi Aswadi Mohamad, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa meminta seutas gelang emas sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang wanita berusia 39 tahun yang juga suspek dalam kes pukul.
Kesalahan dilakukan ketika Khairi bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Temerloh, menurut Harian Metro.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran makanan segera di Taman Chengal, Temerloh, kira-kira 2 petang pada 15 April 2023.
Bagi kesalahan iu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa SPRM Ezuain Farhana Ahmad mencadangkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin.
Beliau juga meminta Khairi melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan, tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Bob Arumugam yang mewakili tertuduh merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya berkhidmat dengan pasukan polis selama 25 tahun.
Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan mematuhi semua syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 15 Mei untuk sebutan semula kes.