Bekas pengajar penerbangan menang rayuan kes pemecatan konstruktif

Bekas pengajar penerbangan menang rayuan kes pemecatan konstruktif

Mahkamah kata Layang-Layang Helicopter Academy pecat K Sudhir secara konstruktif dengan memaksanya memulangkan semua harta syarikat dan bercuti.

Court of Appeal
Mahkamah Rayuan serah kes K Sudhir ke Mahkamah Perusahaan untuk taksiran gaji dan pampasan selepas memutuskan beliau dipecat oleh Layang-Layang Helicopter Academy secara konstruktif.
PETALING JAYA:
Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan bahawa seorang bekas pengajar penerbangan di sebuah syarikat penerbangan carter serantau yang berpangkalan di Sabah telah diberhentikan secara konstruktif.

Sidang tiga hakim yang dipengerusikan Ruzima Ghazali berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila mengesahkan award yang diputuskan oleh Mahkamah Perusahaan.

“Berdasarkan fakta, kami dapati kelakuan Layang-Layang Helicopter Academy Sdn Bhd memaksa perayu (K Sudhir) mengambil cuti dan memulangkan semua harta syarikat sama dengan pemecatan konstruktif,” kata Hakim Azmi Ariffin, yang menulis penghakiman yang dikeluarkan minggu lepas.

Layang-Layang Helicopter Academy, yang menukar nama pada 4 April 2018 kepada Layang-Layang Flying Academy, merupakan anak syarikat Layang-Layang Aerospace.

Azmi berkata pihak mahkamah menganggap kelakuan pihak majikan tidak munasabah. Bagaimanapun, beliau berkata Sudhir tidak boleh dikembalikan ke jawatan dahulu memandangkan keadaan.

“Kami memerintahkan pembayaran gaji dan pampasan yang akan ditaksir oleh Mahkamah Perusahaan,” katanya, selain mengarahkan pihak syarikat membayar kos Sudhir sebanyak RM20,000.

Sudhir, yang menyertai syarikat itu pada 25 Sept 2014, berhenti bekerja pada 13 Nov 2017. Gaji dan elaun bulanan terakhir yang dikeluarkan berjumlah RM20,000.

Sehingga 13 Okt 2017, Sudhir mengumpul 56 hari cuti yang bersamaan dengan kelayakannya selama dua tahun.

Azmi berkata pihak syarikat mengeluarkan surat mengarahkan Sudhir bercuti dari 16 Okt 2017 hingga 14 Jan 2018. Syarikat itu juga merizabkan hak untuk semak semula pekerjaan Sudhir sekembalinya daripada bercuti.

Azmi berkata surat itu juga mengarahkan Sudhir menyerahkan tugasnya sebagai ketua latihan kepada Kapten Idris Ismail, dan memulangkan kereta syarikat, komputer riba, kunci pejabat, dan semua harta intelek dalam simpanannya.

Sudhir menulis surat bertarikh 23 Okt 2017 kepada pegawai atasannya, meminta penjelasan bagi arahan itu. Dia juga bertanya sama ada pihak syarikat mempunyai sebarang niat untuk memecatnya.

Dia menganggap dirinya dipecat secara konstruktif berkuat kuasa 13 Nov 2017 selepas tidak menerima jawapan.

Sudhir memfailkan representasi mendakwa dia dipecat tanpa sebab atau alasan yang adil.

Kesnya dirujuk ke Mahkamah Perusahaan tetapi ditolak atas alasan pihak syarikat tidak melakukan sebarang pelanggaran kontrak pekerjaan.

Permohonan Sudhir untuk semakan kehakiman terhadap award juga ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Azmi berkata mahkamah secara konsisten telah menyatakan bahawa pendekatan yang betul dalam memutuskan sama ada pemecatan konstruktif telah berlaku adalah sama ada kelakuan pihak majikan itu mengingkari asas kontrak.

Beliau berkata pihak syarikat telah melangkaui hak-hak kontraktualnya apabila mewujudkan ketidakpastian dan kesamaran mengenai kedudukan Sudhir.

Mahkamah menyatakan bahawa klausa dalam kontrak pekerjaan Sudhir membenarkan penugasan semula dalam organisasi itu. “Bagaimanapun, hak ini mesti dilaksanakan secara munasabah dan dengan niat baik,” katanya.

Azmi berkata pihak syarikat bersalah apabila memecat Sudhir tanpa komunikasi yang jelas mengenai peranannya dalam syarikat.

“Perayu telah berjaya melaksanakan tanggungjawab membuktikan bahawa terdapat pelanggaran kontrak pekerjaan oleh pihak syarikat,” katanya.

Ian Cham mewakili Sudhir selaku peguam manakala V Sukumaran mewakili pihak syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.