
Tanpa menamakan sesiapa, Anwar berkata adalah sia-sia bagi individu seperti ini yang berpuasa pada bulan Ramadan tetapi gagal menegakkan nilai moral dalam kehidupan seharian mereka.
“Bagaimana dalam kerja, tiada integriti? Datang sekolah tak ikut jadual. Di pejabat yang di atas, di bawah ‘sakau’ (rasuah).
“Bagaimana (boleh) simpan duit di ‘safe house’? Tapi puasa tak tinggal. Mana integritinya?” kata Anwar ketika berucap dalam satu majlis di sini.
Anwar berkata Ramadan bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga mengenai disiplin, kejujuran dan akhlak yang mulia.
Beliau juga berkata bahawa ketakwaan tidak boleh dijadikan sebagai topeng untuk menutup kelakuan tidak beretika, sambil menyeru umat Islam supaya menegakkan integriti dalam setiap aspek kehidupan.
“Jika seseorang itu berpuasa mengikut semua peraturan tetapi mengamalkan rasuah dalam urusan mereka, apakah gunanya? Ramadan sepatutnya mengajar (umat Islam) tentang kawalan diri dan tanggungjawab, bukan sekadar menahan,” katanya.
“Kita tidak boleh membiarkan negara ini dipenuhi dengan orang yang bersolat dan berpuasa, tetapi dalam masa yang sama berbohong, menipu, dan mencuri. Keimanan mesti diterjemahkan dalam tindakan.”
Terdahulu, Anwar menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Abu Ubaidah Ibni Al-Jarrah di Bandar Tasek Mutiara.
Beliau juga mempengerusikan mesyuarat pembangunan negeri di George Town yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow, exco negeri serta pegawai kanan persekutuan dan negeri.
Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar berkata perbincangan mereka tertumpu kepada projek keutamaan di Pulau Pinang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, merangkumi sektor infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan lain-lain.
Anwar turut menggesa semua kementerian dan agensi untuk bekerjasama bagi memastikan projek-projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.