Adun Selangor lapor polis video lelaki pijak Trisul Hindu

Adun Selangor lapor polis video lelaki pijak Trisul Hindu

Gunaraj George gesa siasat segera, heret individu terbabit ke muka pengadilan.

Gunaraj George
Gunaraj George membuat laporan polis berhubung sebuah video tular yang memaparkan seorang lelaki bertindak memijak dan merosakkan Trisul Hindu.
PETALING JAYA:
Seorang Adun Selangor membuat laporan polis hari ini berhubung sebuah video tular yang memaparkan seorang lelaki bertindak memijak dan merosakkan simbol suci agama Hindu, Trisul Hindu.

Adun Sentosa Gunaraj George menyifatkan tindakan individu itu sebagai satu perbuatan melampau yang tidak boleh dikompromi.

Beliau menggesa polis untuk menyiasat segera dab mengheret individu terbabit ke muka pengadilan.

“Perbuatan tersebut bukan sahaja menghina kepercayaan penganut Hindu, malah boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama di negara kita.

“Ini bukan perkara kecil. Ini adalah soal maruah agama dan keharmonian negara,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Gunaraj, Malaysia dibina atas asas saling menghormati dan undang-undang perlu dikuatkuasakan secara adil tanpa mengira latar belakang agama yang dihina.

Beliau turut menarik perhatian mengenai tindakan tegas yang lazimnya diambil terhadap penghina kitab suci Al-Quran, dan menuntut standard keadilan yang sama dalam isu ini.

“Demi keadilan dan kesaksamaan di sisi undang-undang, tindakan yang sama mesti diambil terhadap sesiapa sahaja yang menghina simbol suci agama lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.