
Ketua Pemuda Umno Kangar, Saiful Fariddil Jasmi berkata laporan itu dibuat susulan aduan orang ramai berserta gambar yang tular, selain kebimbangan terhadap sensitiviti agama Islam.
Menurutnya, Pemuda Umno memandang serius insiden berkenaan kerana ia menyentuh kesucian kalimah ‘Allah’ dan berpotensi menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam.
“Sehubungan itu, kami berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh supaya perkara seperti ini tidak berulang,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau turut menegaskan Pemuda Umno tidak akan berdiam diri sekiranya perkara yang menyentuh kesucian agama dijadikan bahan mainan.
Terdahulu, Saiful Fariddil dalam kenyataan berkata beliau telah ke premis berkenaan dan bertemu pemilik kedai bagi mendapatkan penjelasan mengenai tindakan tersebut.
Katanya, pemilik premis berkenaan mengakui perkara itu dan telah memohon maaf, namun laporan polis tetap dibuat bagi memastikan siasatan terperinci dijalankan serta langkah pencegahan dapat diambil demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Tindakan sedemikian adalah amat tidak wajar dan boleh menimbulkan keresahan serta kemarahan dalam kalangan masyarakat Islam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kangar Yusharifuddin Mohd Yusop ketika dihubungi FMT mengesahkan menerima laporan itu dan sedang menyiasat dakwaan tersebut.