
Mangsa yang berusia 19 tahun dilaporkan diserang suspek yang juga berusia 19 tahun ketika berjalan bersama beberapa rakannya ke perpustakaan, lapor Kosmo.
Pelajar itu yang parah di belakang badan dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Suspek juga dilaporkan mengalami kecederaan pada tangan kerana bergelut dengan mangsa dan dirawat di sebuah klinik di dalam universiti itu.
Difahamkan, suspek adalah bekas teman lelaki pelajar itu dan dia tidak berpuas hati dengan mangsa kerana memutuskan hubungan mereka.
Ketua Polis Kuala Muda, Wan Azharuddin Wan Ismail, yang mengesahkan kejadian berkata suspek ditahan semasa mendapatkan rawatan di klinik universiti berkenaan.
“Kita sedang merakam keterangannya sebelum membawanya untuk proses reman bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 324/326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya,” katanya.