Kertas siasatan terhadap aktivis dihantar ke AGC esok, kata KPN

Kertas siasatan terhadap aktivis dihantar ke AGC esok, kata KPN

Razarudin Husain berkata polis sudah merakam keterangan Arun Dorasamy bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kertas siasatan akan dihantar ke Pejabat AGC esok untuk arahan selanjutnya.
PETALING JAYA:
Kertas siasatan ke atas aktivis Arun Dorasamy susulan video dimuat naik di media sosial yang didakwa cuba menghasut masyarakat akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) esok.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata polis sudah merakam keterangan individu terbabit bagi membantu siasatan.

“Rakaman percakapan beliau (Arun) sudah dilakukan dan kertas siasatan akan dihantar ke Pejabat AGC esok untuk arahan selanjutnya,” katanya, menurut Harian Metro.

Media sebelum ini melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan ke atas Arun susulan video dimuat naik di Instagram itu berkaitan isu penghinaan agama.

Razarudin dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu di Batu Kawan, Pulau Pinang semalam berkaitan video di WhatsApp menunjukkan kenyataan Arun Dorasamy yang didakwa berbaur hasutan dan menyentuh isu agama, kaum dan institusi Diraja.

Menurutnya, video terbabit turut menyentuh pihak keselamatan dan Perdana Menteri Malaysia.

Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.