Anwar sokong had tempoh jawatan PM 2 penggal

Anwar sokong had tempoh jawatan PM 2 penggal

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan rundingan teliti dan majoriti dua pertiga di Parlimen.

anwar ibrahim dap
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran cadangan itu tidak dibuat tergesa-gesa tanpa mendapatkan sokongan mencukupi, dengan mengatakan beberapa ahli pembangkang mungkin cuba memutar belit naratif.
SHAH ALAM:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan terhadap gesaan DAP untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal.

Anwar berkata, partinya, PKR, dan gabungan Pakatan Harapan (PH) juga menyokong cadangan sedemikian, tetapi menekankan keperluan untuk berunding dengan parti lain mengenai perkara itu.

“Saya bersetuju dengan cadangan itu, tetapi kita perlu berunding dan mendapatkan sokongan semua pihak untuk mencapai kata sepakat.

“Jangan risau. Jika saya, saya tidak akan bertahan 10 tahun pun. Baru dua tahun dan saya sudah letih,” seloroh presiden PKR ketika berucap di Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

Beliau juga mengingatkan pindaan sedemikian tidak dibuat secara tergesa-gesa tanpa mendapatkan undi yang diperlukan, memberi amaran bahawa rang undang-undang dibentangkan tanpa sokongan mencukupi akan menjadi sia-sia.

“Sesetengah ahli pembangkang mungkin cuba mengalihkan naratif, tetapi PH menyokongnya (langkah untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri),” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dalam ucapannya berkata parti itu mahu kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan termasuk menguatkuasakan had dua penggal untuk jawatan perdana menteri.

Beliau menjelaskan, cadangan itu bukan bertujuan melemahkan Anwar sebaliknya mengukuhkannya sebagai sebahagian daripada legasi beliau sebagai perdana menteri.

“Ini (juga) dijanjikan dalam manifesto pilihan raya PH (untuk PRU15).”

Loke kemudian mengulangi gesaan DAP untuk satu lagi pembaharuan institusi besar yang dijanjikan oleh PH – memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya.

Pembaharuan dalaman DAP

Loke juga menggariskan beberapa pembaharuan dalaman untuk DAP, termasuk mewujudkan empat jawatan exco pusat baharu: ketua Parlimen, pengarah strategik, pengarah dasar dan pengarah pilihan raya.

Beliau berkata, ketua Parlimen mesti dilantik dalam kalangan bukan ahli pentadbiran bagi memastikan suara DAP kekal bebas di Dewan Rakyat.

Selain itu, Loke mencadangkan penubuhan mekanisme penilaian untuk menjadikan pemilihan calon lebih telus dan sistematik.

Beliau turut mencadangkan untuk menjadikan ketua Wanita DAP sebagai ahli tetap jawatankuasa pemilihan calon dan mengisytiharkan parti itu mesti menguatkuasakan 30% kuota calon wanita untuk PRU16.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.