Ribut Sekinchan, Selangor salur RM30,000 sekali bayar

Ribut Sekinchan, Selangor salur RM30,000 sekali bayar

Exco Ng Suee Lim berkata seramai 48 keluarga menerima bantuan wang tunai tidak termasuk bantuan zakat.

Ribut melanda Taman Ria, Sekinchan pada 11 Mac. (Gambar Adun Sekinchan Ng Suee Lim)
PETALING JAYA:
Seramai 48 keluarga mangsa ribut melanda Taman Ria, Sekinchan pada 11 Mac menerima bantuan kerajaan negeri dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan asas.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Ng Suee Lim, berkata bantuan berkenaan disalurkan menerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS), pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan, dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor).

Beliau yang juga Adun Sekinchan, berkata pihaknya juga sedang berusaha mengumpul lebih banyak pihak yang sudi membantu usaha meringankan beban mangsa agar mereka boleh kembali ke rumah masing-masing secepat mungkin.

“Kita (DUN Sekinchan) cuba sedaya upaya menyantuni mangsa dengan menyampaikan peruntukan berjumlah RM30,000 secara ‘sekali bayar’, tidak termasuk bantuan LZS berjumlah RM100,300 kepada 27 keluarga yang boleh digunakan untuk membaiki rumah.

“Selain itu saya juga ada berbincang dengan MBI Selangor dan mereka telah bersetuju untuk bekerjasama mempercepat bantuan membaiki rumah,” katanya menurut Bernama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Sekinchan selepas majlis penyerahan sumbangan mangsa ribut.

Sementara itu, Ng menyeru penduduk di sekitar Sekinchan untuk berwaspada dan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan fenomena ribut sepanjang musim peralihan monsun.

“Rekod kajian impak menunjukkan Sekinchan dan Sabak Bernam diliputi dengan kawasan rata seperti bendang atau jelapang padi, oleh itu kawasan ini sering dilanda ribut dalam skala kecil,” katanya.

Ng turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada 10 masjid, dan RM500 kepada 20 buah surau di seluruh Sekinchan.

Malapetaka ribut Rabu lalu telah meranapkan 48 rumah di Taman Ria, Sekinchan, dan ia merupakan kejadian kedua melanda Sekinchan dalam tempoh seminggu, selepas insiden pertama di Kampung Parit 4 pada 6 Mac lepas menyebabkan lapan rumah mengalami kerosakan teruk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.