DVS Shah Alam diarah buka semula siasatan kes anak anjing dibuang

DVS Shah Alam diarah buka semula siasatan kes anak anjing dibuang

Arahan dikeluarkan oleh DVS Putrajaya susulan desakan 2 NGO yang berkumpul di depan ibu pejabatnya hari ini.

Sekumpulan ahli NGO Pertubuhan Hak Asasi Manusia Global dan Persatuan Kebajikan Haiwan Terbiar Sungai Buloh turun ke ibu pejabat DVS di Putrajaya tuntut keadilan bagi kematian anak anjing yang dibuang di Kuang.
PUTRAJAYA:
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Putrajaya telah mengarahkan DVS Shah Alam untuk membuka semula kes pembuangan anak-anak anjing, yang akhirnya mati, di Kuang, Selangor, pada September, dan menjalankan siasatan dengan lebih menyeluruh.

Ini susulan DVS Shah Alam menutup siasatan kes itu selepas tiga bulan kerana tiada bahan bukti kukuh ditemukan, menurut Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Global S Shashi Kumar.

“Kita sudah buat aduan sejak 9 Sept lalu (hari kejadian), (kita) ada bukti ada pihak tidak bertanggungjawab buang 11 ekor anjing di dalam tong sampah di Kuang.

“Aduan telah dibuat dan bahan bukti telah diberikan kepada DVS Shah Alam. Laporan polis juga telah dibuat tetapi sehingga kini tiada tindakan diambil … malah kita dimaklumkan kes telah ditutup,” katanya kepada FMT, menambah tindakan itu tidak boleh diterima.

Terdahulu, Shashi dan 20 individu lain, termasuk wakil daripada kumpulan hak asasi haiwan, berkumpul di depan ibu pejabat DVS di Putrajaya untuk menuntut keadilan bagi kematian anak-anak anjing tersebut.

Kumpulan itu turut membawa bangkai empat daripada 11 anak anjing yang ditemukan di Kuang itu.

Merujuk arahan DVS Putrajaya, Shashi berkata, pihaknya menyambut baik arahan tersebut dan berharap siasatan akan membawa kepada pelaku didakwa di mahkamah.

Sementara itu, DVS Putrajaya enggan memberi sebarang komen berhubung isu tersebut dengan seorang wakil yang enggan dikenali berkata, kes tersebut telah diserahkan kepada DVS Shah Alam untuk disiasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.