Penganggur, suri rumah mengaku salah siar video Geng 36, 04

Penganggur, suri rumah mengaku salah siar video Geng 36, 04

Dua tertuduh didakwa menyiarkan video bagi kepentingan dua pertubuhan menyalahi undang-undang itu di TikTok awal bulan ini.

mahkamah sesyen majistret johor bahru
Mahkamah Majistret Johor Bahru menjatuhkan denda RM3,500 dan RM2,00 terhadap penganggur R Elaango serta suri rumah Tan Lee Sim. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang penganggur dan ibu tunggal mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan menyiarkan video berkaitan pertubuhan menyalahi undang-undang di TikTok awal bulan ini.

R Elaango, 33, membuat pengakuan itu di depan Majistret A Shaarmini. Dia didakwa menyiarkan video di TikTok miliknya bagi kepentingan Geng 36 di IPK Johor kira-kira 11.30 malam 3 Mac lalu.

Ibu tunggal berusia 41 tahun, Tan Lee Sim pula membuat pengakuan di depan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsuddin. Dia didakwa menyiarkan video di TikTok miliknya bagi kepentingan Geng 04 di IPK Johor kira-kira 11.30 malam 3 Mac lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000, jika sabit kesalahan.

Peguam Mu’adz Zulkarnain yang mewakili kedua-dua tertuduh meminta anak guamnya dikenakan hukuman minimum kerana menanggung keluarga.

“Elaango sedang mencari pekerjaan dan menanggung ibunya, manakala Lee Sim yang bekerja di kilang perlu menanggung anak 17 tahun dengan pendapatan sekitar RM1,800 sebulan,” katanya menurut Sinar Harian.

Mahkamah menjatuhkan denda RM3,500 terhadap Elaango dan penjara dua bulan jika gagal membayar denda, sementara Tan didenda RM2,000 dan penjara enam bulan, jika gagal membayarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.