
Zawawi berkata, Menteri Besar Mohd Nassuruddin Daud sepatutnya fokus selesai isu pengambilan tanah bagi membolehkan Projek Tebatan Banjir Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok disambung semula.
Katanya, tiada guna melayan dakwaan dibuat dalam audio siar itu bahawa peruntukan untuk projek tebatan banjir negeri disalah guna bagi menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen.
“Kenyataan ‘podcast’ jangan dijadikan bahan rasmi apatah dalam politik yang banyak seninya, ada kemungkinan itu hanya perancangan untuk memudahkan serangan balas kepada musuh.
“Sebagai menteri besar bantulah percepatkan projek tebatan banjir dengan kuasa ada, mudahkan kaedah pengambilan tanah,” katanya kepada FMT.
Baru-baru ini, tular kenyataan seorang individu menyatakan dirinya bertugas di pejabat pemimpin negara di sebuah audio siar mendakwa dana projek tebatan banjir dimasukkan ke akaun kerajaan Kelantan telah diagihkan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
Nassuruddin menafikan dan mendakwa kenyataan itu sebagai fitnah.
Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memutuskan untuk mempercepatkan projek tebatan banjir di seluruh negara terutama PLSB Sungai Golok.
Menurutnya, kerajaan Kelantan memberi jaminan proses pengambilan tanah itu akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan berbanding lebih dua tahun sebelum ini.