
PETALING JAYA: Seorang lelaki warga emas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas semalam selepas bergurau kononnya bagasi rakannya mengandungi bom.
Ketua Polis Barat Daya Sazalee Adam berkata kejadian kira-kira 10.30 malam itu ketika lelaki tempatan berusia 64 tahun dan rakannya berusia 60 tahun mahu menaiki penerbangan ke China, lapor Bernama.
Katanya, ketika melalui pemeriksaan barang di kaunter daftar masuk LTAPP, lelaki itu secara berseloroh mendakwa bagasi milik rakannya mengandungi bom.
“Pemeriksaan lanjut mengesahkan tiada bahan berbahaya dijumpai dalam bagasi mereka,” katanya.
Sazalee berkata lelaki itu dan rakannya ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.