Tertuduh dakwa diarah tekan tubi, mengaku bunuh

Tertuduh dakwa diarah tekan tubi, mengaku bunuh

Tertuduh pertama dakwa pegawai penyiasat paksa tekan tubi 50 kali selain dipukul dengan hos getah jika tidak mengaku.

Seramai 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa membunuh seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, pada Mac 2024. (Gambar Bernama)
TAWAU:
Tertuduh pertama dalam kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan memberitahu Mahkamah Tinggi dia dipaksa mengaku membunuh mangsa ketika keterangannya diambil di sebuah balai polis di Lahad Datu.

Saksi pembelaan keenam itu mendakwa pegawai penyiasat kes telah mengarahkannya melakukan tekan tubi kira-kira 50 kali, selain dipukul dengan hos getah dan ditendang di bahagian paha selagi tidak membuat pengakuan tersebut.

“Saya juga disuruh duduk separuh sewaktu bercakap mengenai malam kejadian. Selagi kami tidak mengaku, dia orang (mereka) paksa terus seolah-olah macam mahu pukul lagi kami kalau tidak mengaku,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam Kamarudin Mohmad Chinki.

Pada prosiding di hadapan Hakim Duncan Sikodol itu, saksi tersebut mendakwa tertuduh lain juga diarah melakukan tekan tubi, duduk separuh, dan lompat bintang, namun dia tidak melihat mereka dipukul pegawai penyiasat kes tersebut.

Saksi itu mendakwa desakan serta hukuman ketika dalam siasatan menimbulkan rasa takut kepada semua tertuduh, malah dia sendiri menangis ketika berada di dalam lokap.

Pada 28 Feb lalu, Duncan memerintahkan 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun yang didakwa membunuh Nazmie, 17, di bilik asrama 7 Resal dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac 2024 itu membela diri.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, Ng Juhn Tao, dan Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi oleh peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang serta Kusni Ambotuwo.

Perbicaraan bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.