
Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyeru semua pemimpin, khususnya pemimpin politik, agar bertindak sebagai jambatan perpaduan yang menyatukan rakyat, bukannya mencetus perbalahan yang menjejaskan hubungan harmoni.
“Berhentilah daripada menjadi ‘badut’ yang mempolemikkan isu raja, agama dan kaum sehingga mencetuskan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat,” titahnya, sambil menyeru pemimpin kepada kebijaksanaan.
“Biarkanlah ‘pentas’ ini terus tenang, tanpa ‘drama’ yang menyakitkan. Berdialoglah guna akal dan hati, bukannya bermonolog guna nista dan benci.”
Sultan Pahang bertitah demikian di majlis memasyhurkan nama Masjid Abdul Rahman Ibn Auf, di Kampung Durian Hijau, Jerantut.
Menegaskan bahawa pemimpin bertanggungjawab menjadi pendamai dan bukannya pencetus perbalahan, Sultan Pahang beri peringatan bahawa pertelingkahan kaum dan agama mampu membawa malapetaka, jika tidak dibendung dengan bijaksana.
“Kita tidak mahu sejarah hitam itu berulang hanya kerana kealpaan kita dalam mengurus isu sensitif ini dengan hikmah dan bijaksana,” titahnya.
Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan semua rakyat agar tidak mudah melatah dan membuat spekulasi sehingga menjejaskan keharmonian.
Sultan Pahang seru semua agar hormat-menghormati antara satu sama lain, dan menjaga sensitiviti antara agama dan kepercayaan.
“Jangan sesekali kita biarkan kejahilan dan keangkuhan merosakkan apa yang telah lama kita bina bersama,” titahnya.