Istana Pahang nafi tawar bantuan di TikTok

Istana Pahang nafi tawar bantuan di TikTok

Terdapat akaun palsu meminta pengguna hantar mesej dan nombor telefon bagi mendapatkan 'tawaran hadiah'.

Istana Pahang menasihatkan orang ramai tidak mempercayai pautan atau maklumat yang terkandung dalam media sosial palsu. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Istana Pahang menafikan sebarang bentuk tawaran bantuan kepada orang ramai oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang disebarkan di TikTok.

Istana Pahang memaklumkan terdapat akaun palsu di platform itu yang meminta pengguna menghantar mesej dan nombor telefon ke akaun berkenaan bagi mendapatkan tawaran hadiah.

“Sultan Pahang tidak mempunyai sebarang akaun media sosial yang dilihat banyak dihasilkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan nama dan gambar Al-Sultan Abdullah untuk memperdaya orang ramai.

“Begitu juga dengan akaun palsu, terutamanya Facebook dan TikTok menggunakan nama serta gambar Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah,” katanya di Facebook Kesultanan Pahang.

Istana Pahang menasihatkan orang ramai tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam media sosial palsu, dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika menerima pelawaan atau kandungan mencurigakan.

Istana Pahang memaklumkan semua aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan menerusi platform media sosial menggunakan nama Kesultanan Pahang, manakala portal rasmi ialah istanapahang.my.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.