
Ketua Polis Sungai Buloh Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata pengadu pada 6 Mac menerima pautan video berdurasi lebih kurang seminit menerusi Whatsapp.
Katanya, rakaman menunjukkan pengadu sedang berjalan sambil memegang tangan dua anaknya, Zayn Rayyan dan Mateen, berusia enam tahun menuju ke kawasan parkir motosikal Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai.
“Pengadu merasakan bahawa individu tidak dikenali ini merakam video tersebut dari kawasan blok Apartmen Idaman berhadapan dengan Blok R.
“Rakaman dibuat dari ketinggian yang menunjukkan perakam kemungkinan besar adalah seorang penghuni di salah satu tingkat lima atas blok tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pengadu percaya ia bukan kebetulan kerana tidak lama selepas rakaman dibuat, Zayn Rayyan ditemui mati dengan jarak lebih kurang 200m, dari lokasi video itu dirakam.
“Siasatan terhadap kes ini masih berjalan dan pihak polis melarang orang ramai membuat sebarang spekulasi boleh mengganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat,” katanya.
Zayn Rayyan dilapor hilang pada 5 Dis 2023 dan jasadnya ditemukan di anak sungai berdekatan kediamannya sehari kemudian.
Dia dipercayai dibunuh selepas bedah siasat mendedahkan terdapat kesan cedera di leher dan badannya, konsisten untuk mempertahankan diri.
Ibu bapanya, Ismanira dan Zaim Ikhwan Zahar, kedua-dua berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pengabaian kanak-kanak autistik berusia enam tahun, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai, pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.