
Satees Muniandy berkata, agensi antirasuah itu tidak boleh mengabaikan dakwaan itu, dan beliau bersedia membuat aduan rasmi untuk menuntut akauntabiliti.
“Jika SPRM benar-benar komited memerangi rasuah, (agensi itu) mesti mengambil tindakan tegas,” katanya, memetik insiden pada 2018 apabila dua pemimpin PKR Kedah ditahan berhubung amalan rasuah dalam pemilihan parti.
Satees, yang kini bersama Urimai berkata, beliau diberitahu oleh seorang ahli DAP seumur hidup bahawa pembelian undi kini menyelinap dalam proses pemilihan bagi jawatan pucuk pimpinan.
“Sebelum ini, pemilihan parti dipengaruhi oleh barisan puak, selalunya disertai kempen fitnah pada saat akhir. Bagaimanapun, kali ini, politik wang terang-terangan nampaknya sedang dimainkan,” kata setiausaha Urimai itu dalam kenyataan.
Beliau berkata, perwakilan didakwa ditawarkan wang tunai dalam bentuk ‘elaun perjalanan’ dan penginapan hujung minggu di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur.
Menurut pelbagai sumber, katanya, seorang Ahli Parlimen dan Adun Pulau Pinang dikatakan terlibat dalam usaha meraih undi bagi tokoh politik atasan mereka.
“Sebuah hotel lima bintang dilaporkan hampir penuh ditempah untuk menempatkan perwakilan-perwakilan ini, yang dijangka mengundi seperti yang diarahkan. Beberapa perwakilan (memberitahu saya) mereka ditawarkan penginapan mewah dan insentif tunai sehingga RM1,000
“Sebagai ahli DAP selama hampir 16 tahun, saya boleh sahkan bahawa amalan seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini. Paling hebat, DAP negeri akan menguruskan pengangkutan seperti bas untuk memudahkan penyertaan perwakilan,” katanya.
FMT telah menghubungi pemimpin DAP untuk mendapatkan komen.
Bekas Adun Bagan Dalam itu berkata, perkembangan semasa mencadangkan beberapa pemimpin sanggup meninggalkan cita-cita yang pernah mereka perjuangkan dalam usaha terdesak untuk memperoleh jawatan pada pemilihan CEC 16 Mac.
Beliau berkata, perkara ini bukan semata-mata tentang parti, tetapi tentang menegakkan integriti dalam politik Malaysia.
“Jika parti yang berkuasa terlibat dalam pembelian undi, bagaimana mereka hendak dipercayai tegur amalan rasuah di tempat lain?
“Pemimpin politik yang lantang membantah rasuah tetapi mengamalkan politik wang mesti didedahkan dan dipertanggungjawabkan,” kata Satees.