
Loke berkata, langkah ini adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) baharu yang dikemas kini.
“Tidak kira sama ada kemalangan itu melibatkan kematian atau tidak, syarikat berkenaan tetap akan diaudit. Ini adalah SOP baharu,” katanya kepada pemberita.
Katanya, jika syarikat pengangkutan itu gagal dalam audit tersebut, lesen operasi mereka boleh digantung.
Loke berharap SOP baharu ini akan menjadi peringatan kepada semua pihak agar mematuhi peraturan keselamatan dan mengurangkan kadar kemalangan maut membabitkan lori atau kenderaan berat.
Sementara itu, Loke berkata kenderaan barangan juga dilarang berada di jalan raya selama empat hari sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.
Beliau berkata larangan itu akan berkuat kuasa pada 29 dan 30 Mac serta 5 dan 6 April.
Kegagalan mematuhi larangan ini boleh mengakibatkan denda antara RM300 hingga RM2,000 atau hukuman penjara tidak melebihi enam bulan, jika disabit kesalahan.
“Tujuan utama larangan ini adalah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya akibat campuran antara kenderaan barangan dan kenderaan persendirian,” katanya.
Menurut Loke, larangan yang sama ketika Tahun Baharu Cina sebelum ini berjaya mengurangkan kadar kemalangan sebanyak 10%. Sebanyak 7,882 kes kemalangan direkodkan dalam tempoh tersebut berbanding 8,784 kes pada tahun sebelumnya.