SPRM panggil 23 ‘saksi baharu’ dalam siasatan kes Ismail Sabri

SPRM panggil 23 ‘saksi baharu’ dalam siasatan kes Ismail Sabri

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata seramai 31 saksi telah dipanggil untuk dirakam keterangan setakat ini.

Ismail Sabri Yaakob
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini berkata bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dipanggil untuk dirakam keterangan sebagai suspek dalam siasatan yang melibatkan empat pegawai kanannya.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan merekodkan keterangan 23 individu lagi dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Sumber SPRM memberitahu FMT, semua mereka adalah “saksi baharu” dalam siasatan tersebut.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata seramai 31 saksi telah dipanggil, termasuk “dua hingga tiga” ahli politik.

Jumaat lalu, pegawai SPRM turut menemu bual doktor yang merawat Ismail bagi menilai tahap kesihatannya selepas beberapa kali sijil sakit dikeluarkan kepada beliau.

Ismail, yang memberi keterangan kepada SPRM pada 19 Feb lalu, rebah di rumahnya pada 22 Feb dan dimasukkan ke hospital kerana masalah berkait tekanan darah.

Ahli Parlimen Bera itu sepatutnya hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 5 Mac, tetapi sesi itu ditunda ke 7 Mac selepas dia diberikan sijil sakit.

Sumber SPRM memberitahu sijil sakit Ismail sah sehingga 12 Mac dan beliau akan memberi keterangan pada 13 Mac.

Azam sebelum ini berkata Ismail dipanggil sebagai suspek dalam siasatan melibatkan empat pegawai kanannya.

SPRM turut mendedahkan kira-kira RM170 juta wang tunai dan 16kg jongkong emas bernilai jutaan ringgit dirampas dalam serbuan di kediaman empat pegawai berkenaan serta tiga premis lain yang dipercayai sebagai “safe houses”.

Sebanyak 13 akaun bank yang mengandungi kira-kira RM2 juta turut dibekukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.