RM3,000 balasan daftar pusat jagaan anak yatim, penjawat awam direman

RM3,000 balasan daftar pusat jagaan anak yatim, penjawat awam direman

Suspek berusia 30-an menerima suapan itu menerusi transaksi pindahan ke akaun bank miliknya.

Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid tidak menolak kemungkinan wakil beberapa pusat jagaan lain akan dipanggil dalam masa terdekat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penjawat awam direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu kerana disyaki menerima suapan kira-kira RM3,000 sebagai balasan mendaftarkan pusat jagaan anak yatim dan asnaf milik sebuah syarikat.

Sumber SPRM memaklumkan perintah reman selama lima hari bermula hari ini terhadap lelaki berusia 30-an itu dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, selepas permohonan dibuat SPRM.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara Julai hingga September 2023. Suspek juga disyaki menerima suapan melalui transaksi pindahan ke akaun bank miliknya,” menurut Bernama memetik sumber.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan penahanan itu, dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan wakil beberapa pusat jagaan lain akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.