Pengguna FB minta maaf atas video kesat terhadap orang Melayu-Islam

Pengguna FB minta maaf atas video kesat terhadap orang Melayu-Islam

Pemilik akaun 'Vijayan Savarinathan' kata perbuatannya tidak patut, walaupun didorong oleh perasaan marah.

Tangkap layar ‘Vijayan Savarinathan’ minta maaf atas video yang mengandungi kata-kata kesat.
PETALING JAYA:
Pemilik akaun Facebook, ‘Vijayan Savarinathan’, meminta maaf secara terbuka, atas video yang mengandungi kata-kata kesat terhadap orang Melayu-Islam.

Pengguna terbabit mengakui telah melakukan kesilapan, dalam satu video di Facebook hari ini.

Dia menjelaskan bahawa perbuatan itu didorong oleh perasaan marah terhadap suatu video yang menghina.

“Saya minta maaf ikhlas daripada hati saya. Apa yang saya buat ini tak patut, apa yang saya cakap itu pun tak patut.

“Sebab mereka buat video itu saya pun marah, tak boleh tahan, kali-kali kita kena hina, tapi itu bukan alasan saya bagi untuk cakap yang saya buat video itu betul,” katanya.

Jumaat lalu, polis mengesahkan sedang mengenal pasti lokasi ‘Vijayan Savarinathan’ yang didakwa menghina agama Islam. Individu berkenaan dipercayai berada di luar negara.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang boleh menyebabkan ketidakharmonian antara kaum dan agama.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan jaringan.

Perkembangan ini menyusuli kes persenda upacara kavadi membabitkan penyampai radio Era FM.

Video tular dikatakan mempersenda upacara kavadi itu mencetuskan kritikan meluas, lalu membawa kepada permohonan maaf tiga penyampai terbabit yang turut digantung oleh Astro Audio, dan siasatan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.