Tragedi Batang Kali 1948: Kerajaan UK digesa mohon maaf

Tragedi Batang Kali 1948: Kerajaan UK digesa mohon maaf

Peguam Britain dan ahli politik Malaysia berkata permohonan maaf rasmi membantu ahli keluarga mangsa pembunuhan beramai-ramai itu keluar dari trauma.

Peserta bertafakur bagi memperingati 24 penduduk kampung Batang Kali yang dibunuh tentera British pada 1948. Duduk barisan hadapan dari kiri: (baju putih) Tan Kok Wai, Quek Ngee Meng dan Chong Sin Woon.
KUALA LUMPUR:
Peguam Britain dan ahli politik Malaysia mendesak kerajaan United Kingdom (UK) untuk memohon maaf secara rasmi berhubung pembunuhan 24 penduduk Cina oleh tentera British di Batang Kali pada 1948.

Pakar undang-undang awam Britain, John Halford, berkata adalah “wajar secara moral” bagi UK untuk mengemukakan permohonan maaf, memandangkan banyak kerajaan di seluruh dunia mengakui kekejaman mereka di masa lalu walaupun tiada kewajipan undang-undang untuk berbuat demikian.

Halford berkata Perdana Menteri Britain, David Cameron juga memohon maaf pada 2010 berhubung pembunuhan beramai-ramai yang dikenali sebagai ‘Bloody Sunday’ di Ireland pada 1972.

“Kadangkala, tuntutan moral lebih kuat daripada undang-undang,” katanya pada majlis memperingati ulang tahun ke-76 tragedi pembunuhan Batang Kali.

Peguam diraja Britain, Danny Friedman, pula menegaskan bahawa kerajaan British pada 1948 bertanggungjawab secara sah terhadap tindakan tenteranya yang melakukan pembunuhan tersebut lebih 70 tahun lalu.

Beliau berkata Britain sedar antara benar dan salah, baik dari segi undang-undang mahupun moral, khususnya selepas Deklarasi Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Perbicaraan Nuremberg terhadap jenayah perang Perang Dunia Kedua pada 1945.

“Jika Britain mengambil langkah untuk mengakui kekejaman di Batang Kali, ia bukan sahaja penting dari segi sejarah, tetapi juga dari segi undang-undang,” katanya.

Sementara itu, peguam Malaysia, Quek Ngee Meng, berkata kerajaan British telah menerima memorandum daripada jawatankuasa bertindak Batang Kali yang menuntut pengakuan pembunuhan beramai-ramai itu serta permohonan maaf secara rasmi.

Quek berkata, Pejabat Luar Negeri, Komanwel dan Pembangunan UK telah memberi maklum balas dan berjanji akan mengeluarkan jawapan yang lebih terperinci dalam bulan ini.

Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, pula menggesa kerajaan UK untuk menyahklasifikasikan dan mendedahkan semua rekod sejarah berkaitan pembunuhan beramai-ramai itu.

Beliau turut mendesak kerajaan Malaysia memastikan peristiwa tersebut dimasukkan dalam sukatan pelajaran sejarah bagi mendidik generasi masa depan tentang realiti pemerintahan kolonial.

Veteran DAP, Tan Kok Wai berkata permohonan maaf rasmi dari kerajaan British akan membantu keluarga mangsa untuk meneruskan kehidupan selepas trauma yang berlarutan selama beberapa dekad.

Pada 12 Dis 1948, seramai 24 penduduk kampung di Batang Kali dibunuh tentera British kerana disyaki membantu anggota Parti Komunis Malaya yang ketika itu melancarkan pemberontakan terhadap pentadbiran kolonial Malaya.

Mahkamah Agung UK pada 2015 memutuskan bahawa kerajaan Britain bertanggungjawab secara sah terhadap tindakan tenteranya ketika itu, namun mahkamah itu menolak permohonan untuk mengadakan inkuiri awam.

Hakim Mahkamah Agung, Lord Kerr, menyatakan bahawa terdapat bukti kukuh bahawa mangsa telah “dibunuh dengan kejam” dan mengkritik pihak berkuasa kerana gagal menjalankan siasatan yang berkesan.

Cabaran undang-undang selepas itu turut gagal, dengan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah pada 2018 memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa ke atas kes tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.