
Ketua Penerangan Joniston Bangkuai berkata tawaran GRS supaya kerajaan negeri itu diterajui parti tempatan lahir daripada keinginan rakyat bukannya meniru pihak lain seperti didakwa Ketua Perikatan Nasional (PN) Sabah Ronald Kiandee.
“GRS dibentuk sebagai wadah untuk merealisasikan impian rakyat Sabah itu, soal idea itu dicedok dari Sarawak tidak timbul.
“Kami tahu apa yang kami lakukan dan sentiasa membuat keputusan selaras kehendak rakyat,” katanya kepada FMT.

Jumaat lalu, FMT melaporkan kenyataan Kiandee yang mendakwa konsep parti tempatan di Sabah hanya dicedok atau diplagiat dari Sarawak yang akhirnya mengelirukan pemimpinnya sendiri kerana tidak memahami latar politik.
Menghormati hak terbabit, Ronald berkata kali terakhir negeri itu diperintah parti tempatan adalah oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) diketuai Joseph Pairin Kitingan dari 1985 hingga 1994 kemudian pentadbiran negeri ditadbir komponen termasuk daripada parti nasional seperti Umno, PN dan Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, keadaan itu berbeza dengan Sarawak yang sejak dahulu ditadbir parti tempatan.
Namun Joniston yang juga Adun Kiulu menjelaskan kerjasama dengan parti nasional lain turut dibuat di bawah pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor untuk memberikan perkhidmatan terbaik.
“Sama ada kita akan bekerjasama dengan parti nasional bergantung manfaat kepada negeri dan rakyat.
“Harus juga diambil kira pembabitan parti nasional dalam kerajaan Sabah diterajui parti tempatan berjaya mentadbir negeri dengan baik,” katanya merujuk peningkatan pendapatan menjangkau 7 bilion tahun lalu.
Menurutnya, hasil itu membolehkan kerajaan negeri memperkenalkan pelbagai bantuan sebagai program Bantuan Sentuhan Rakyat membabitkan hampir 100,000 rakyat miskin dan pembinaan 40 buah Rumah Sabah Maju Jaya di setiap DUN.