Mahkamah Tinggi batal pampasan RM102,000 pekerja dipecat MAHB

Mahkamah Tinggi batal pampasan RM102,000 pekerja dipecat MAHB

Eldayu Yunus dipecat selepas dia dan tanggungannya membuat 231 lawatan ke klinik panel dalam tempoh 16 bulan menyebabkan majikannya membayar RM33,000.

Mahkamah kota kinabalu
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu membatalkan award RM102,139.76 yang diberikan Mahkamah Perusahaan yang memutuskan pemecatannya oleh Malaysian Airports Holdings Bhd tidak sah.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu membatalkan award pampasan RM102,000 yang diberikan Mahkamah Perusahaan kepada bekas kakitangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Eldayu Yunus.

Hakim Ismail Brahim berkata tribunal itu terkhilaf dalam undang-undang dan bertindak secara tidak rasional apabila mendapati MAHB gagal membuktikan salah laku serta salah guna manfaat perubatan oleh Eldayu berdasarkan keseimbangan kebarangkalian.

“Award bertarikh 17 Julai 2023 itu tidak boleh dikekalkan dan perlu dibatalkan,” kata Ismail, yang kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan, dalam penghakimannya.

Menurutnya, Mahkamah Tinggi berhak menyemak keputusan Mahkamah Perusahaan bagi mengenal pasti sebarang kesilapan prosedur dan kelemahan substantif berdasarkan bukti yang dikemukakan.

Ismail berkata terdapat merit dalam aduan MAHB bahawa Mahkamah Perusahaan terkhilaf dalam pendekatan serta penilaian undang-undang dan bukti dalam kes itu.

Mahkamah Perindustrian, katanya, terlalu menekankan fakta bahawa tiada had rasmi bagi jumlah lawatan pekerja ke klinik panel atau nilai tuntutan rawatan yang boleh dikemukakan.

“Namun, hak itu boleh disalahgunakan jika digunakan secara berlebihan, tidak munasabah atau dengan niat tidak baik, walaupun tiada had yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata tribunal itu gagal menilai sama ada tuntutan perubatan Eldayu adalah wajar dan sah berdasarkan keseluruhan bukti yang dikemukakan.

Ismail berkata asas pemecatan Eldayu bukan disebabkan had perubatannya, tetapi kerana menyalahgunakan manfaat itu.

“Mahkamah Perusahaan gagal memahami sifat sebenar tuduhan terhadapnya dengan hanya menumpukan kepada isu had manfaat,” katanya.

Beliau juga berkata mahkamah itu tidak memberi pertimbangan sewajarnya terhadap keterangan saksi pakar perubatan, Dr Jasman Haris, yang mengesahkan bahawa kekerapan dan corak lawatan Eldayu ke klinik tidak mempunyai justifikasi perubatan berdasarkan diagnosis serta ubat yang diberikan.

Eldayu diambil bekerja oleh MAHB pada Feb 2007 dengan manfaat perubatan untuk beliau dan tanggungannya di klinik panel.

Pada 2020, analisis data MAHB mendapati tuntutan perubatan dibuat oleh Eldayu dan beberapa pekerja lain adalah luar biasa tinggi dan kerap, menunjukkan kemungkinan penyalahgunaan manfaat yang diberikan.

Eldayu dan ahli keluarganya dikesan membuat 231 lawatan ke klinik panel, menyebabkan MAHB menanggung kos kira-kira RM33,000 dari 1 Jan 2019 hingga 1 Mei 2020.

Beliau diberi surat tunjuk sebab pada 14 Mei 2020 tetapi menafikan sebarang salah laku. Selepas siasatan dalaman, dia didapati bersalah atas penyalahgunaan manfaat perubatan dan perkhidmatannya ditamatkan pada 23 Julai 2020.

Mahkamah Perusahaan di Kota Kinabalu kemudiannya memutuskan pemecatannya tidak sah dan menganugerahkan pampasan RM102,139.76 bagi ganti rugi kehilangan pekerjaan serta tunggakan gaji.

Peguam Christopher Chong mewakili MAHB manakala Ansari Abdullah bertindak bagi pihak Eldayu.

Eldayu mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.