
Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer daripada DAP, berkata Zamri mesti dituduh di mahkamah kerana jelas melanggar undang-undang apabila menyiarkan semula “hantaran menghasut dan tidak bertanggungjawab”.
Rayer mendakwa Zamri tidak pernah insaf selain berterusan membuat hasutan, cubaan mencetuskan ketegangan kaum dan agama di Malaysia.
Hantaran Zamri sebelum ini diturunkan Facebook awal hari ini susulan permintaan pegawai kerajaan. FMT difahamkan Facebook hanya menghadkan akses hantaran tersebut hanya kepada rakyat Malaysia.
Zamri dalam hantaran berkenaan antara lain menyifatkan penganut Hindu dalam upacara kavadi ketika Thaipusam, sebagai “macam orang kena rasuk sambil mabuk todi”.
Kenyataan dibuat susulan kontroversi dicetuskan tiga penyampai radio Era FM, yang dikritik meluas kerana mempersenda upacara berkenaan.
Rayer berkata, tidak bertanggungjawab untuk Zamri mengaitkan komennya mengenai pembawa kavadi dengan kematian seorang anggota bomba semasa rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya, pada 2018.
“Tiba masa pihak berkuasa bertindak segera. Polis mesti menunjukkan kepada rakyat Malaysia Zamri bukan berada di atas undang-undang,” kata Rayer.
Hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata pihaknya ada meminta Facebook menurunkan hantaran Zamri, sebagai memberi maklum balas ke atas persoalan Rayer yang menganggap “ketiadaan tindakan” melibatkan hantaran tersebut.
SKMM berkata, hantaran Zamri didapati mengandungi elemen kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.