Rayer gesa AG konsisten pendakwaan pemandu bawah pengaruh dadah, alkohol

Rayer gesa AG konsisten pendakwaan pemandu bawah pengaruh dadah, alkohol

Ahli Parlimen Jelutong itu berkata Peguam Negara juga perlu memastikan tindakan tegas diambil terhadap pemandu Toyota Hilux yang meragut nyawa tiga ahli keluarga di Batu Gajah, Februari lalu.

rsn rayer
RSN Rayer berkata konsisten dalam pertuduhan adalah sebahagian daripada prinsip kedaulatan undang-undang.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan menggesa Peguam Negara untuk sentiasa konsisten dalam tuduhan dikenakan terhadap mereka yang menyebabkan kemalangan maut akibat memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

RSN Rayer dari DAP berkata beliau sedih dengan kemalangan di Klang yang meragut nyawa Amirul Hafiz Omar, 33, pada Ahad lalu, dan menyokong tindakan tegas diambil terhadap pemandu terbabit.

Pemandu, R Saktygaanapathy, 28, didakwa atas pertuduhan membunuh dan mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah.

Namun, Rayer menegaskan Peguam Negara juga perlu memastikan tindakan tegas diambil terhadap pemandu Toyota Hilux yang meragut nyawa tiga ahli keluarga di Batu Gajah, Perak, pada Februari lalu.

Ahli Parlimen Jelutong itu menjelaskan pemandu terbabit didapati positif dadah kanabis, menurut polis, tetapi siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan cuai atau berbahaya.

Seksyen 41(1) memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000, serta larangan memiliki atau memohon lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun jika sabit kesalahan.

Sebaliknya, Seksyen 44(1) merangkumi kes kematian akibat memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan menyediakan hukuman lebih berat, iaitu penjara 10 hingga 15 tahun dan denda RM50,000 hingga RM100,000.

Rayer menambah konsisten dalam pertuduhan adalah sebahagian daripada prinsip kedaulatan undang-undang, terutamanya perlembagaan mengenai kesamarataan.

“Peguam Negara perlu menjelaskan mengapa pemandu dalam kemalangan Klang didakwa membunuh, manakala pemandu dalam kemalangan Batu Gajah hanya disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

“Gagal berbuat demikian berisiko menimbulkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan rakyat. Kedaulatan undang-undang mesti dipelihara,” kata Rayer dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.