
Dalam laporan yang dibuat di IPD Dang Wangi, B Nantha Kumar nafi meminta atau menerima rasuah daripada ejen itu, yang dinamakannya sebagai ‘Zahid’, lapor Malaysiakini.
Beliau berkata, ‘Zahid’ sebaliknya yang cuba menyogoknya, dan beliau mengambil sampul surat yang diberikan oleh ejen tersebut sebagai ‘bukti’ kewujudan sindiket pemerdagangan pekerja asing.
“Pada 28 Feb kira-kira 11.10 malam, ketika saya berjumpa Zahid di Hotel Concorde, Shah Alam, untuk berbincang berkenaan siasatan saya berhubung sindiket Fly, dia menghulurkan sampul berwarna coklat untuk memujuk saya bekerjasama dalam sindiket itu.
“Saya ambil sampul itu sebagai bukti dia merasuah saya. Ini kerana saya diminta oleh seorang pengarah jabatan imigresen negeri untuk membantu jabatan itu mencari apa jua bukti ke atas warga Pakistan yang dicurigai terlibat dalam sindiket Fly.
“Namun sebelum saya sempat melaporkan kepada Jabatan Imigresen yang Zahid merasuah saya, saya telah ditahan oleh SPRM pada waktu itu juga dan direman empat hari atas tuduhan menerima rasuah.
“Saya menafikan meminta atau menerima rasuah, sebaliknya insiden tersebut adalah Zahid yang memberi rasuah kepada saya,” kata Nantha dalam laporan yang dibuat pada 5 petang.
Sindiket Fly merujuk kepada kegiatan pemalsuan status imigresen, yang ‘membersihkan’ individu yang tinggal lebih masa atau disenarai hitam menerusi cop keluar masuk palsu.
Menggesa polis agar menyiasat latar belakang ‘Zahid’, Nantha mendakwa lelaki itu mengaku pernah dipenjarakan di Malaysia atas kesalahan pemerdagangan orang.
Beliau juga mempersoalkan bagaimana ‘Zahid’ masih dibenarkan menetap di negara ini, dikatakan melalui visa profesional, sekiranya benar dia pernah disabitkan kesalahan.
Terdahulu, Nantha dituduh menerima RM20,000 daripada seorang ejen pekerja asing sebagai balasan tidak menerbitkan dua artikel yang akan mendedahkan sindiket tersebut.
Beliau dibebaskan pada Selasa lepas selepas direman selama empat hari.