
Tertuduh, Mohamad Hafiz Kadis, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Arun Noval Dass, menurut Berita Harian.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa menyebabkan kecederaan terhadap isterinya berusia 25 tahun di sebuah rumah di Tongkang Pechah pada 10 malam, 26 Jan lalu.
Mengikut pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan perkara sama terhadap anak lelaki yang baru berusia dua tahun dengan semua kejadian berlaku pada tarikh, masa dan tempat sama.
Dakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya manakala Seksyen 326A, penjara dua kali ganda tempoh maksimum dikenakan atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 323.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam Suhaila Shafi’uddin.
Mahkamah kemudian menetapkan Isnin ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.