
Katanya, walaupun angka itu tidak menggambarkan keseluruhan prestasi kerana majoriti projek disiapkan mengikut jadual atau lebih awal, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor lewat menyiapkan projek.
Beliau berkata, punca kelewatan lazimnya disebabkan isu tapak projek membabitkan pelbagai agensi, termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pemilik utiliti, selain kelemahan pengurusan atau masalah kewangan syarikat kontraktor.
“Ketua setiausaha KKR telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan.
“Jangan lupa, kontrak ini mempunyai aspek undang-undang dan kita tidak boleh sewenang-wenangnya menamatkan projek,” katanya menurut Bernama selepas menghadiri Majlis Perasmian Siri Jelajah Sistem Pengangkutan Pintar Korea-Malaysia 2025 di Kuala Lumpur.
Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan menggesa KKR mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor sambil lewa atau gagal menyiapkan projek mengikut jadual.
Tegasnya, perkara itu penting kerana KKR bertanggungjawab terhadap pelbagai projek pembangunan berkepentingan rakyat.