Oh surat sokongan!

Oh surat sokongan!

Tidak perlu lagi keluarkan surat sokongan. Ini boleh mengelakkan syak keraguan dan tuduhan walaupun surat sokongan mungkin bukan arahan.

Mohsin Abdullah

Jika saya si kolumnis tulis surat sokongan untuk anda, tentu tidak ada hal kerana saya orang kecil. Jika penghulu keluarkan surat menyokong seseorang pun tidak jadi hal. Malah, dalam keadaan tertentu surat sokongan menjadi tuntutan atau diwajibkan ada. Umpamanya apabila seseorang memohon bantuan kewangan jabatan kebajikan. Boleh dikatakan surat penghulu mengesahkan si pemohon benar-benar layak terima bantuan. Lantas penghulu sokong bantuan diberi.

Tetapi, apabila surat sokongan dikeluarkan oleh seseorang yang berpengaruh serta berjawatan tinggi dan punya hubungan rapat dengan seorang yang bukan sahaja ada lebih pengaruh daripadanya tetapi juga ada kuasa luas ini akan timbulkan pertanyaan dan segala macam persepsi. Lazimnya negatif.

Tentulah saya merujuk langkah setiausaha politik kepada PMX yang diberita mengeluarkan surat sokongan kepada enam kontraktor berhubung projek pembinaan hospital tahun lalu. Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli menamakan setiausaha politik itu sebagai Shamsul Iskandar Mohamad Akin. Perlu dinyatakan sehingga artikel ini ditulis belum ada respons daripada Shamsul.

Sebelum bercerita lanjut saya tampilkan definisi ‘surat sokongan’ hasil carian di internet. Menurut ‘artificial intelligence overview’: Surat sokongan ialah dokumen rasmi yang ditulis untuk menyokong seseorang atau sesuatu permohonan, projek atau urusan.

Ia juga berfungsi ‘sebagai pengesahan positif mengenai kelayakan, kemahiran, etika kerja atau keperluan sesuatu pihak yang boleh ditulis oleh penyelia, majikan atau individu yang mengenali pemohon dengan baik’.

Dan fungsi utamanya ialah ‘untuk mengesahkan kelayakan, memberi maklumat positif dan membantu mempercepatkan permohonan atau urusan rasmi’. Begitu jawapan AI pada pertanyaan apa makna surat sokongan?.

Baik. Adakah wajar Shamsul mengeluarkan surat sokongan? Saya kira tidak. Jika wajar dan tindakan betul masakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri menegur ‘keras’ setiausaha politiknya itu. Tindakan menegur keras didedahkan PMX di Parlimen 18 Nov lalu.

Adakah tindakan itu mencukupi? Atau adakah Shamsul perlu dipecat kerana tulis surat sokongan? Rafizi certainly thinks so. Tolak tepi the open secret that Rafizi and Shamsul are not the best of friends.

Kata Rafizi: “Kalau setakat tegur keras tetapi orang itu masih ada di situ, (ikut pemahaman saya masih pegang jawatan di PMO) lama-lama berucap keras macam mana pun orang tak ambil serius.”

Menurutnya, ini peluang terbaik untuk Anwar menunjukkan keazamannya memerangi rasuah.

Pada hemat saya, persoalan yang paling penting dan mesti disahkan dahulu ialah adakah rasuah telah berlaku? Atau ada niat untuk rasuah? Menerima dan memberi.

Dalam kata lain, adakah Shamsul diberi atau sudah terima rasuah kerana mengeluarkan surat sokongan itu? Dan adakah dirasuah untuk memastikan syarikat atau kontraktor yang disokong telah mendapat kontrak bina the hospital in question? All six of them? Atau satu syarikat sahaja?

“Saya memang tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh beliau (setiausaha politik) tetapi kita perlu bertanya sama ada projek itu benar-benar diberikan berdasarkan suratnya…jawapannya tidak,” kata Anwar beberapa hari lalu. Untuk pengetahuan beliau bercakap dengan media semasa dalam pesawat menuju Afrika Selatan selepas lawatan rasmi di Ethiopia.

Menurut perdana menteri, surat sokongan itu bukan ‘arahan’. Bagi saya apa yang dimaksudkan beliau ialah surat sokongan itu bukan mengarahkan Kementerian Kesihatan atau mana-mana pihak untuk menganugerahkan projek kepada syarikat yang disokong.

Apa pun pada pandangan saya untuk menjawab persoalan penting yang diaju tadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mesti diminta menjalankan siasatan. Ini demi kebaikan semua.

Siasatan akan membolehkan Shamsul membersihkan nama jika beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan. Ia juga akan membersihkan nama semua kontraktor yang disokong jika mereka juga tidak memberi dan tidak ada niat beri apa-apa sogokan. Di samping itu kontraktor yang mendapat kontrak akan membuktikan ia berjaya based on merit yakni benar-benar layak dan berkebolehan. Bukan sebab hanky pangky. Tanpa clearance SPRM ia akan sentiasa dicurigai orang ramai.

Selain itu KKM juga akan bebas daripada apa-apa tuduhan dan persepsi jika SPRM give them the all clear sign. Rakyat akan lega dan senang hati tiada rasuah didapati berlaku.

Dan PMX akan membutikan SPRM bebas menyiasat dan beliau tidak campur tangan meskipun yang disiasat pegawainya.

Bagaimanapun, andai ada unsur rasuah SPRM tahu apa yang mesti dilakukan dan tahu what the public expect them to do.

Mengakhiri penulisan saya kembali kepada teguran keras PMX kepada setiausaha politiknya. Teguran keras ini mesti diperluaskan untuk membabitkan seluruh dan setiap lapisan pentadbiran Madani daripada penjawat awam berjawatan tinggi, pegawai menteri malah menteri sendiri.

Semuanya. Sudah-sudahlah. Tidak perlu lagi keluarkan surat sokongan. Ini boleh mengelakkan syak keraguan dan tuduhan meskipun surat sokongan mungkin bukan surat arahan.

Beri surat sokongan bukan perkara baru. Ia diamalkan sejak berzaman waktu setiap kerajaan yang memerintah negara. Masanya sudah tiba amalan ini dihentikan. Bagi saya pemberhentiannya adalah elemen reformasi.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.