Cuaca panas, kering hingga September

Cuaca panas, kering hingga September

Monsun barat daya yang membawa cuaca panas dan kering diramal berlaku sekitar Mei hingga September.

minum air drink water cuaca panas
Susulan cuaca panas dan kering ketika ini semua pihak diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Cuaca panas dan kering diramal berlaku di kebanyakan tempat terutama di utara Semenanjung berikutan fasa akhir monsun timur laut yang dijangka berakhir pertengahan bulan ini.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan berkata, bagaimanapun cuaca panas ketika ini diramal tidak seteruk tahun lalu berikutan pengaruh La Nina lemah yang menyebabkan cuaca sedikit lembap.

Monsun barat daya yang membawa cuaca panas dan kering juga diramal berlaku sekitar Mei hingga September, menurut NRES.

“Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), akan berlaku pengurangan hujan antara 20% hingga 40% berbanding keadaan biasa di utara, pantai barat dan timur Sabah pada Mac dan di barat Sarawak pada April.

“Negara dijangka menerima taburan hujan pada paras normal pada Julai dan Ogos,” kata kementerian.

Namun, NRES yang diketuai Menteri Nik Nazmi Nik Ahmad memberi amaran jerebu masih boleh berlaku jika insiden pembakaran terbuka tidak dikawal.

“Susulan cuaca panas dan kering ketika ini, semua pihak diingatkan tidak melakukan pembakaran terbuka dan membiarkan tanah atau premis diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja.

“Tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah,” kata kementerian.

Jika disabit kesalahan bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pesalah boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kompaun juga boleh dikenakan tidak melebihi 50% denda maksimum bagi setiap kesalahan.

Berdasarkan statistik Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi tempoh 1 Jan hingga 24 Feb, terdapat 619 kes pembakaran sampah sarap direkodkan daripada keseluruhan 1,147 aduan pembakaran terbuka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.