Kerajaan peruntuk RM7 juta untuk hadapi monsun timur laut

Kerajaan peruntuk RM7 juta untuk hadapi monsun timur laut

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata ia termasuk bagi tujuan pemberian Bantuan Wang Ihsan.

banjir bernama
Peruntukan RM7 juta disediakan kerajaan itu bagi perbelanjaan segera semua negeri dan agensi serta bantuan kewangan kepada mangsa banjir, kata Nancy Shukri. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan menyediakan peruntukan RM7 juta bagi menampung perbelanjaan segera untuk semua negeri dan agensi berkaitan, bagi memastikan koordinasi dan operasi tindak balas berjalan lancar sepanjang tempoh monsun timur laut (MTL).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, berkata peruntukan yang disalurkan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) termasuk bagi tujuan pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI), yang mula dilaksanakan bermula musim MTL 2025-2026.

“Ini penting kepada mereka yang jadi mangsa bencana ini…pembayaran BWI akan dibuat berdasarkan pendaftaran ketua isi rumah (KIR) mangsa bencana, melalui sistem MyInfo Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bayaran akan dibuat secara terus kepada KIR oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) selaku bank pembayar yang dilantik dalam tempoh satu ke tiga hari, selepas pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup,” katanya mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Nancy menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang antara lain mahu tahu sama ada kerajaan bersedia memberikan insentif bantuan kewangan kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu ketika banjir di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.