Indonesia dilanda gelombang haba, suhu cecah 37 darjah Celsius

Indonesia dilanda gelombang haba, suhu cecah 37 darjah Celsius

Cuaca panas luar biasa dipercayai berpunca daripada pergerakan matahari ke arah selatan serta pengukuhan angin timuran dari Monsun Australia.

Cuaca panas
Ekoran gelombang haba, penduduk Indonesia dinasihatkan elak pendedahan berpanjangan kepada cahaya matahari secara langsung, terutamanya pada waktu tengah hari. (Gambar EPA Images)
JAKARTA:
Indonesia terus berdepan gelombang haba yang teruk dengan suhu mencecah sehingga 37.6 darjah Celsius di beberapa wilayah, ketika agensi cuaca negara memberi amaran bahawa keadaan ekstrem itu boleh berlarutan sehingga awal November.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik, cuaca panas luar biasa itu berpunca daripada pergerakan matahari ke arah selatan serta pengukuhan angin timuran dari Monsun Australia.

“Corak ini menyebabkan wilayah tengah dan selatan termasuk Jawa, Nusa Tenggara, Kalimantan dan Papua menerima lebih banyak cahaya matahari secara langsung, sekali gus menyebabkan suhu dirasai lebih panas,” kata Timbalan Bahagian Meteorologi BMKG Guswanto dalam kenyataan.

Walaupun cuaca panas dijangka berterusan, agensi itu menyatakan hujan setempat yang singkat akibat aktiviti perolakan masih boleh berlaku pada waktu petang atau malam, terutamanya di beberapa bahagian Sumatera, Kalimantan, Jawa dan Papua.

Pihak berkuasa turut menasihatkan orang ramai supaya kekal terhidrat dan mengelakkan pendedahan berpanjangan kepada cahaya matahari secara langsung, terutamanya pada waktu tengah hari ketika cuaca ekstrem berterusan.

“Orang ramai juga perlu berwaspada terhadap perubahan cuaca secara tiba-tiba seperti hujan berserta petir dan angin kencang pada lewat petang atau malam,” tambah Guswanto.

Data BMKG menunjukkan suhu melebihi 35 darjah Celsius direkodkan di sebahagian besar kawasan Indonesia, terutamanya di Nusa Tenggara, Jawa, Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah, Sulawesi Selatan dan Sulawesi Tenggara, serta beberapa kawasan di Papua.

Pada 12 Okt, suhu tertinggi 36.8 darjah Celsius direkodkan di Kapuas Hulu (Kalimantan Barat), Kupang (Nusa Tenggara Timur) dan Majalengka (Jawa Barat).

Menjelang 14 Okt, suhu di beberapa kawasan Kalimantan, Papua, Jawa, Nusa Tenggara Barat dan Nusa Tenggara Timur berada antara 35 hingga 37 darjah Celsius, manakala Majalengka dan Boven Digoel (Papua) melaporkan suhu tertinggi 37.6 darjah Celsius.

“Suhu tinggi yang berterusan di banyak kawasan mencerminkan keadaan cuaca panas dan kering yang berpanjangan, didorong oleh dominasi jisim udara kering dan litupan awan yang terhad,” tambah Pengarah Meteorologi Awam BMKG Andri Ramdhani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.