
Permintaan dibuat oleh perayu, Abdul Malik Rosli, 27, menerusi peguam dilantik mahkamah, S Karthigesan, semasa mitigasi selepas Mahkamah Rayuan hari ini menggantikan hukuman mati dengan penjara 30 tahun.
Sidang tiga hakim yang terdiri daripada Ahmad Zaidi Ibrahim, Azman Abdullah dan Noorin Badaruddin turut menjatuhkan hukuman sebatan 12 rotan.
Karthigesan, yang mewakili Malik, mengesahkan keputusan mahkamah kepada Bernama.
Beliau berkata mahkamah juga mengarahkan agar Malik menjalani hukuman penjara bermula pada tarikh tangkapan pada 31 Jan 2018.
Karthigesan berkata mahkamah memutuskan bahawa kes Malik tidak termasuk dalam kategori ‘teramat jarang berlaku’ yang membolehkan beliau dijatuhi hukuman mati.
Katanya, beliau juga memaklumkan kepada mahkamah semasa mitigasi bahawa beliau menerima arahan daripada anak guamnya untuk memohon agar hukuman mati dikekalkan sekiranya rayuan terhadap sabitan ditolak.
Malik didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Seremban pada Oktober 2022 kerana membunuh Mahussin Abdul Rahim, 28, di tingkat empat kuarters klinik kesihatan Lukut di Port Dickson pada pukul 1.40 pagi, 19 Jan 2018.
Mayat Mahussin ditemui oleh rakannya 72 jam selepas dilaporkan hilang apabila gagal hadir ke tempat kerja pada 22 Jan 2018.
Malik masih mempunyai satu peluang untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Rafidah Zainuddin mewakili pihak pendakwaan.