Kerajaan putuskan esok sama ada rayu keputusan tuntutan 40% hak Sabah

Kerajaan putuskan esok sama ada rayu keputusan tuntutan 40% hak Sabah

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata satu mesyuarat khas Jemaah Menteri akan diadakan esok.

anwar ibrahim
GRS dan pihak lain menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi mengenai hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan akan membuat keputusan esok sama ada akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang Putrajaya bertindak secara tidak sah kerana gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata mesyuarat khas Jemaah Menteri akan diadakan esok, lapor Bernama.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS), salah satu parti utama dalam kerajaan, serta beberapa pihak lain menggesa Putrajaya tidak merayu terhadap keputusan itu, sebaliknya mengadakan rundingan konstruktif berhubung perkara tersebut.

Majlis Presiden GRS berkata pihaknya bersedia untuk mengadakan rundingan bermakna dengan Putrajaya selaras dengan arahan mahkamah untuk meneliti semula dan memuktamadkan perjanjian baharu mengenai bahagian 40% hasil persekutuan.

Ia berkata Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu tidak mengenakan sebarang penalti kewangan terhadap kerajaan persekutuan, sebaliknya hanya mengarahkan supaya semakan perlembagaan yang tertunggak sekian lama itu dilaksanakan.

Isu tersebut telah membawa kepada peletakan jawatan presiden Upko, Ewon Benedick, sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi, susulan pendirian yang diambil oleh Jabatan Peguam Negara berhubung bahagian 40% hasil persekutuan itu.

Anwar berkata rombakan Kabinet tidak berada dalam agenda mesyuarat esok.

Namun begitu, rombakan dilihat berkemungkinan berlaku memandangkan peletakan jawatan Ewon serta tamatnya tempoh senator Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, pada 2 Disember ini.

Kabinet turut mempunyai dua kekosongan jawatan susulan peletakan jawatan menteri ekonomi Rafizi Ramli dan menteri sumber asli dan kelestarian alam Nik Nazmi Nik Ahmad pada 28 Mei lalu.

Tugas mereka kini dipangku oleh Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dan Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani.

Anwar ulangi komitmen terhadap pembangunan Sabah

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata kerajaan persekutuan kekal fokus dan konsisten dalam membangunkan Sabah serta memperkukuh ekonominya.

Beliau berkata komitmen itu dizahirkan melalui pelbagai projek dan pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri pimpinan GRS.

“Kita tidak sempurna tetapi akan sentiasa mendengar suara rakyat dan memahami kebimbangan mereka. Kita akan berusaha keras memperbaiki kelemahan demi memastikan masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.