
Dalam kenyataan, Astro Audio berkata pihaknya kesal dengan insiden rakaman video mempersenda tarian kavadi Hindu melibatkan penyampai mereka.
“Sebagai sebuah syarikat penyiaran bertanggungjawab, kami memandang serius perkara ini.
“Selepas pertimbangan teliti, kami memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga individu tersebut dari ke udara sehingga diberitahu kelak, sementara kami menjalankan siasatan dalaman ke atas insiden ini,” katanya.
Terdahulu, dalam hantaran di akaun Instagram Era FM, Nabil, Azad dan Radin memohon maaf atas video tersebut dan mengakui mereka tidak sensitif, terutama kepada masyarakat India.
Video yang telah diturunkan dalam platform media sosial stesen itu, memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel disusuli gelak tawa.
Klip itu mengundang kritikan meluas dengan kebanyakan ia berupa penghinaan kepada tradisi Hindu iaitu upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Ia mencetuskan reaksi keras daripada Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan, yang menuntut permohonan maaf terbuka termasuk menyeru kerajaan mengambil tindakan terhadap Era FM.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pihaknya menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio terbabit.
Sementara itu, Astro Audio berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan penuh terhadap semua garis panduan dan keperluan yang ditetapkan.
“Kami sedang mengambil langkah memperkukuh proses semakan kandungan bagi memastikan program dihasilkan mencerminkan nilai dan jangkaan audiens kami.
“Kami amat menghargai maklum balas dari para pendengar dan pemegang taruh serta akan terus mendengar, belajar, dan memperbaiki diri,” katanya.