
Bercakap kepada pemberita di Bukit Aman, Arun Dorasamy berkata beliau hanya menggunakan hak perlembagaan untuk bersuara mengenai kegagalan penguatkuasaan undang-undang dan menyeru perhimpunan aman.
“Jika pegawai penguatkuasa gagal mengambil tindakan yang sewajarnya, kita mempunyai hak untuk memprotes.
“Itu adalah hak saya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan selaras dengan Akta Perhimpunan Aman 2012. Ia bukan satu hasutan,” katanya.
Arun berkata beliau tidak menyesal memuat naik video tersebut kerana ia bertujuan menunjukkan rasa kecewa penganut Hindu.
Beliau juga akan memfailkan saman sivil terhadap Zamri kerana mengeluarkan kenyataan menghina ritual kavadi Hindu selain memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara itu.
Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata sebanyak 894 laporan polis dibuat terhadap Zamri atas dakwaan menghina penganut Hindu.
Katanya, polis sedang menunggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara selepas menyerahkan kertas siasatan dan kenyataan Zamri.
Zamri sebelum ini membuat hantaran di Facebook didakwa mempersenda upacara kavadi ketika Thaipusam.
Kenyataan Zamri itu dibuat susulan kontroversi tiga penyampai radio Era FM yang dikritik kerana didakwa mempersendakan ritual tersebut.