
Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata laporan media bahawa Razman yang juga ketua pembangkang Perak itu digantung adalah tidak benar, lapor The Star.
“Beliau masih pesuruhjaya (negeri). Laporan itu tidak benar dan hanya dimainkan oleh beberapa media,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Idris turut menjelaskan bahawa Razman masih lagi timbalan pengerusi Perikatan Nasional Perak.
Sinar Harian pada 1 Mac lalu, melaporkan Razman direhatkan daripada tugas sebagai pesuruhjaya PAS Perak.
Laporan itu mendakwa keputusan tersebut dibuat PAS pusat susulan beberapa isu membabitkan beliau, termasuk yang terbaharu mengaitkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dengan Kumpulan YTL Corporation Berhad (YTL).
Razman memohon maaf kepada Yeoh dan pihak yang terkesan dengan ucapannya mengaitkan pemimpin DAP itu dengan keluarga Yeoh yang memiliki YTL.
Beliau juga mendakwa disaman Yeoh kerana mengaitkan pemimpin DAP itu dengan dakyah Kristianisasi.
Menurut laporan itu lagi, tugas pesuruhjaya dipangku naib presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai Idris Ahmad.