Mahkamah sahkan pemecatan pemandu guna telefon bimbit ketika memandu

Mahkamah sahkan pemecatan pemandu guna telefon bimbit ketika memandu

Mahkamah Perusahaan berkata rakaman CCTV menunjukkan pemandu itu menggunakan telefon bimbit dalam tiga kejadian ketika membawa bahan membahaya.

mahkamah perusahaan malaysia
Mahkamah Perusahaan Pulau Pinang berkata Air Products Malaysia Sdn Bhd secara sah memecat pemandu itu selepas mengeluarkan surat amaran atas dua kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika membawa bahan berbahaya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Perusahaan Pulau Pinang mengesahkan keputusan sebuah syarikat pengangkutan untuk memecat seorang pemandu selepas dia didapati menggunakan telefon bimbit pada tiga kejadian berasingan ketika mengendalikan lori tangki cecair pukal.

Pengerusi mahkamah, Jeyaseelen Anthony, menolak penjelasan pemandu itu yang mendakwa dia hanya menghubungi isterinya yang hamil dan bersendirian di rumah serta menyanyi lagu Tamil ketika memandu. Anthony berkata rakaman CCTV kenderaan menunjukkan keadaan sebaliknya.

Anthony berkata, Air Products Malaysia Sdn Bhd mengeluarkan amaran tegas kepada pemandu itu sebanyak dua kali. Amaran kedua mengandungi kata putus bahawa perkhidmatannya akan ditamatkan sekiranya dia didapati mengulangi kesalahan itu buat kali ketiga.

Pada ketika itu, pemandu tersebut mengakui menggunakan telefon bimbitnya dan menyatakan bahawa dia memahami akibat daripada tindakannya, menurut mahkamah.

Anthony menjelaskan bahawa buku panduan keselamatan syarikat melarang pemandu daripada menggunakan telefon bimbit atau merokok semasa mengendalikan lori tangki cecair pukal.

Katanya, lori tangki yang membawa gas nitrogen berbahaya itu boleh meletup dan mencemarkan alam sekitar sekiranya berlaku kebocoran atau tumpahan dalam situasi kemalangan.

“Salah laku penuntut adalah amat serius kerana tugasnya sebagai pemandu melibatkan pengangkutan bahan berbahaya, dan sebarang kemalangan jalan raya akibat kecuaiannya dalam situasi seperti ini boleh membawa kesan buruk yang besar kepada dirinya sendiri, pengguna jalan raya serta alam sekitar.

“Oleh itu, hukuman pemecatan adalah wajar kerana syarikat tidak boleh lagi menaruh kepercayaan dan keyakinan terhadap penuntut (pemandu) untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan dan penuh integriti,” katanya dalam keputusan yang dikeluarkan awal bulan ini.

Anthony berkata, selain daripada dua surat amaran, penuntut juga diberikan kaunseling sebanyak dua kali selepas didapati melakukan dua kesalahan berulang pada 2021. Dia kemudiannya dipecat pada tahun berikutnya selepas melakukan kesalahan ketiga.

Mahkamah turut mendapati pemandu menggunakan telefon bimbit dalam kejadian ketiga itu bukan untuk menghubungi isterinya, seperti didakwa. Anthony menjelaskan dalam keadaan kecemasan, pemandu biasanya memberhentikan kenderaan di tempat selamat untuk membuat panggilan.

“Ketika disoal balas, penuntut bersetuju bahawa dia mengetahui polisi syarikat mengenai perkara ini, justeru saya mendapati bahawa pembelaannya tidak berasas dan tidak mempunyai merit,” katanya.

Anthony juga menegaskan bahawa syarikat telah menjalankan siasatan dalaman sebelum pemecatan dilakukan.

Beliau menyatakan bahawa tidak terdapat unsur ‘mala fide’ (niat jahat) dalam keputusan pemecatan itu, yang dibuat berdasarkan alasan kukuh serta wajar.

Vijayan Veeriah dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mewakili penuntut, manakala Bong Lep Siong dan Joycelyn Teoh mewakili syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.