
Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob mengesahkan bahawa beliau dipecat, manakala sepucuk surat yang dilihat FMT menyatakan Wan Fayhsal dan Ahli Parlimen Padang Rengas Azahari Hasan turut menerima nasib yang sama.
Wan Fayhsal digantung daripada Bersatu pada Oktober lalu kerana melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti.
Surat daripada Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Radzi Manan, menyatakan bahawa ketiga-tiga Ahli Parlimen itu melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti, peruntukan yang sama dirujuk dalam pemecatan Hamzah.
Fasal itu memperuntukkan bahawa ahli Bersatu hendaklah mematuhi perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan parti.
Fathul dan Azahari adalah antara 16 Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong gesaan Naib Presiden parti, Ronald Kiandee, supaya Muhyiddin Yassin berundur sebagai presiden dan digantikan oleh timbalannya, Hamzah.
Turut dipecat hari ini ialah Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin, yang sebelum ini turut menggesa Muhyiddin letak jawatan.
Sejak beberapa bulan lalu, Bersatu dilanda kemelut dalaman di tengah-tengah krisis kepimpinan antara Muhyiddin dan Hamzah.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, masing-masing telah dipecat daripada parti pada Oktober dan Januari lalu.