Ismail Sabri isytihar harta dalam siasatan SPRM

Ismail Sabri isytihar harta dalam siasatan SPRM

Bekas PM itu diarah isytihar harta pada 11 Dis tahun lepas, dan telah melakukannya secara rasmi pada 10 Feb lepas.

Siasatan SPRM tertumpu pada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa Ismail Sabri Yaakob menerajui negara antara Ogos 2021 hingga November 2022.
PETALING JAYA:
Ismail Sabri Yaakob telah mengisytiharkan harta sebagai sebahagian siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung rasuah dan pengubahan wang haram.

SPRM berkata, siasatannya tertumpu pada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara antara Ogos 2021 hingga November 2022.

“Bekas perdana menteri (itu) telah diarahkan membuat pengisytiharan harta bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 11 Dis 2024. Pengisytiharan harta tersebut dibuat secara rasmi pada 10 Feb 2025.

“(Beliau) telah hadir ke pejabat SPRM untuk memberikan keterangan pada 19 Feb 2025. SPRM tidak menolak kemungkinan beliau akan dipanggil semula bagi membantu siasatan selanjutnya,” kata SPRM dalam kenyataan.

Menurut SPRM, empat pegawai kanan Ismail ditahan selepas agensi itu menerima maklumat baharu dan laporan risikan.

Dalam serbuan di kediaman mereka dan tiga premis lain, dipercayai menjadi ‘safe house’, wang tunai dalam pelbagai mata wang antarabangsa, bernilai kira-kira RM170 juta, ditemukan bersama 16kg jongkong emas tulen dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

SPRM juga berkata, pihaknya telah mengenal pasti hampir 10 saksi yang akan dipanggil ‘dalam masa terdekat’ untuk membantu siasatan.

“Suruhanjaya ini ingin menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara bebas, profesional, dan mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

“SPRM komited untuk memastikan bahawa sebarang bentuk salah laku berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram ditangani dengan tegas demi kepentingan negara.”

Khamis lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, agensi itu akan memanggil lapan individu bagi membantu siasatan berikutan penahanan empat bekas pegawai kanan Ismail.

Mereka direman pada 21 Feb kerana disyaki terlibat dengan rasuah, namun telah dibebaskan.

Azam sebelum ini berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM, berkaitan kesalahan meminta dan menerima rasuah, serta undang-undang pencegahan pengubahan wang haram.

Tahun lepas, SPRM memulakan siasatan berhubung RM700 juta yang didakwa digunakan untuk tujuan promosi dan publisiti bagi menguar-uarkan pencapaian kerajaan semasa dua pentadbiran terdahulu, antara Mac 2020 hingga November 2022.

SPRM sedang menyiasat bagaimana wang itu dibelanjakan, dan telah memanggil syarikat-syarikat yang menerima dana daripada kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.