Kenyataan Abang Jo cetus keraguan mengenai perjanjian O&G dengan Putrajaya, kata sumber

Kenyataan Abang Jo cetus keraguan mengenai perjanjian O&G dengan Putrajaya, kata sumber

Sumber industri kata desakan Sarawak supaya rangka kerja kawal selianya dipatuhi mencetuskan persoalan terhadap keseluruhan operasi Petronas di sana.

Anwar Ibrahim Abang Johari Openg
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu Petronas dan Petros bergerak sebagai rakan tapi Premier Sarawak Abang Johari Openg diam mengenai kolaborasi masa depan, menurut orang dalam industri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sumber dalam industri minyak dan gas ragu-ragu sama ada Putrajaya dan kerajaan Sarawak mampu menyelesaikan tuntutan bertentangan ke atas minyak dan gas, berikutan kenyataan kerajaan mengundang ‘ketidakpastian’ mengenai urusan tersebut.

Sumber yang minta tidak dinamakan itu berkata, perkara ini mampu beri kesan negatif ke atas kewangan Petronas di masa depan sekiranya tidak ditangani secara cukup-cukup.

Syarikat minyak negara pada Selasa mengumumkan untung bersih turun 32% pada 2024, dan melaporkan untung selepas cukai RM55.1 bilion iaitu penurunan daripada RM80.7 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

Kewangan Petronas turut mendedahkan hasil daripada segmen gas dan maritim, yang turut merangkumi gas asli cecair (LNG), adalah sebanyak RM131.1 bilion tahun lalu, iaitu peningkatan daripada RM127.4 bilion pada 2023.

Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan Sarawak mengiktiraf keutamaan Akta Kemajuan Petroleum (PDA) dan memperakui pemilikan eksklusif Petronas ke atas semua sumber minyak dan gas di seluruh negara.

Katanya, persetujuan itu juga bakal menyaksikan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dilantik sebagai agregator gas tunggal di Sarawak.

Menurut Anwar, Sarawak akan perolehi gas asli sehingga 1.2 bilion kaki padu sehari untuk keperluan domestiknya, “dengan jaminan penambahan berdasarkan keperluan berikutnya”.

Bagaimanapun, Abang Johari dalam kenyataan keesokannya berkata Sarawak juga merancang untuk meminta hak meneroka gas di luar pantai serta tempat lain di pelantar benua.

“Itu akan mengikis sumber Petronas dan mungkin akan menyebabkan pendapatan dan keuntungannya semakin menurun.”

Premier Sarawak dalam kenyataannya turut berkata ‘kontrak sedia ada’ Petronas akan terus berkuat kuasa tetapi perlu seiring dengan rangka kerja kawal selia Sarawak.

“Permintaan itu pasti akan mewujudkan lebih banyak ketidakpastian. Ia terus membangkitkan persoalan terhadap keseluruhan operasi Petronas di Sarawak,” kata sumber itu.

Menurutnya, tuntutan premier Sarawak itu juga mampu memberi kesan terhadap eksport LNG Petronas.

“Abang Johari tidak berkata apa-apa mengenai potensi perniagaan baharu — terutama perniagaan eksport — yang mungkin diperoleh Petronas,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau juga tidak menyatakan bagaimana projek di masa depan akan diperoleh.

“Dalam kenyataannya, Anwar menggesa Petronas dan Petros bekerja rapat di masa depan. Namun hairannya, Abang Johari diam mengenai kolaborasi di masa depan.”

Petronas ditubuhkan pada 1974 di bawah PDA, sebagai sebahagian daripada usaha Malaysia mengukuhkan kawalan terhadap sumber minyak dan gas.

Menurut Petronas, antara 1976 dan 2017, ia menyumbang RM1.2 trilion kepada ekonomi negara.

Di Dewan Rakyat minggu lalu, perdana menteri memuji syarikat minyak negara kerana “memenuhi mandat negara” dan menjadi “penjana hasil utama belanjawan negara selama hampir setengah abad”.

Pada 2017, Sarawak menubuhkan Petros untuk mengukuhkan kawalan terhadap sumbernya.

Dalam tempoh setahun lalu, Sarawak mendesak supaya Petronas memeterai perjanjian yang akan menjadikan Petros agregator gas tunggal di sana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.