
Pengarah Dr Maria Suleiman berkata kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 7.26 pagi itu menyebabkan jalan utama terputus lalu menghalang ambulans dan kenderaan kecemasan ke lokasi kejadian.
Pasukan kesihatan dari Klinik Desa Tontolob di Liawan yang berhampiran lokasi kejadian melakukan penilaian awal serta penstabilan pesakit, dan pemeriksaan mendapati pesakit berada dalam fasa aktif proses kelahiran dan memerlukan pemindahan segera ke hospital.
“Pasukan ‘retriever’ dari Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Daerah Tambunan dikerah ke lokasi kejadian dengan sebuah ambulans untuk membantu pemindahan pesakit setelah mendapat panggilan dari IPD Tambunan. Oleh kerana laluan utama terhalang, pasukan penyelamat mencari alternatif lain bagi memastikan pesakit dapat dipindahkan secepat mungkin,” menurut kenyataan.
Anggota IPD Tambunan dengan kerjasama orang awam berjaya membantu memindahkan pesakit merentasi kawasan terjejas menggunakan laluan alternatif yang lebih selamat sebelum dibawa ke Hospital Keningau.
Sebaik tiba di hospital, pesakit segera dimasukkan ke dewan bedah dan menjalani pembedahan kecemasan kerana mengalami tanda-tanda bayi lemas di dalam kandungan.
“Operasi berjalan lancar dan ibu serta bayi kini berada dalam keadaan stabil,” katanya.
“JKNS merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam operasi penyelamatan itu, yang telah menunjukkan semangat kebersamaan dan dedikasi dalam menyelamatkan nyawa.”
Maria berkata kejayaan misi ini membuktikan betapa pentingnya kerjasama dan kesiapsiagaan antara pelbagai agensi dalam menghadapi situasi kecemasan.